Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah 244 kes iaitu peningkatan 19 kes berbanding 225 kes semalam (6 Julai 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,189 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.
“Terdapat dua kluster baru iaitu Kluster Siasai Dundau – Kota Belud melibatkan jangkitan dalam komuniti di tiga daerah.
“Kes indeks merupakan wanita, 24, dari Kg Siasai Dundau yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan masuk kerja pada 28 Jun 2021 di Hospital UMS,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Di samping itu katanya, kes indeks juga mempunyai gejala demam, selesema dan batuk sejak pada 21 Jun 2021.
Susulan pengesanan secara aktif dan saringan kontak terhadap 132 individu, 34 lagi kes positif dikesan positif termasuk 11 kes baharu yang direkod pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 47 kes.
Daripada jumlah tersebut katanya, 11 kes didaftarkan di daerah Kota Kinabalu dan 1 kes di daerah Penampang.
Selain itu, Kluster Pintasan Kota Belud – Kota Belud mula dikesan di Hospital Kota Belud apabila kes indeks, wanita, 35, dari Kg Taun Gusi Keranjangan disahkan positif Covid-19 pada 30 Jun 2021, setelah bergejala demam, sakit tekak dan hilang deria bau sejak 28 Jun 2021.
Berdasarkan siasatan katanya, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan dari komuniti ketika menziarahi keluarga di Kg Pintasan pada 25 Jun 2021.
“Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 34 kontak mendapati 17 lagi individu dikesan positif termasuk lapan kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes,” katanya.