KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menggesa penduduk yang telah melarikan diri dari Kg.Pondo, Pulau Gaya kerana mengelak daripada berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya kembali ke kampung tersebut dengan kadar segera bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiat usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Kegagalan mereka kembali ke Kg. Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan akan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021,” kata Jurucakap Covid-19 Sabah itu dalam kenyataan media hari ini.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk dari Kg Pondo, Pulau Gaya yang mengelak daripada dikenakan PKPD digesa supaya menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis terdekat.