Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Terdapat satu kluster baru COVID-19 dikesan hari ini yang melibatkan pekerja di pasar raya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Agora Borneo melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu Bataras Hypermarket 1Borneo.
Katanya, kes indeks adalah pembantu jualan wanita, 24, dari Kg Lokub, Kota Kinabalu disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun 2021, selepas bergejala sejak 20 Julai 2021.
“Saringan seterusnya turut mendapati ujian saringan RTK-Ag gred 100% ke atas kes indeks pada 01 Julai 2021 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah sebelum dimasukkan ke Hospital
Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Daripada 133 sampel yang diambil dalam kalangan kontak rapat, 26 sampel dikesan positif termasuk 17 kes baharu yang direkod pada hari ini,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, 57 sampel negatif dan 50 sampel lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan.
Berdasarkan siasatan awal katanya, penularan COVID-19 dipercayai merebak di tempat kerja hingga ke generasi kedua iaitu ahli keluarga. Pengesanan kontak secara aktif sedang giat dijalankan oleh pasukan kesihatan.
Masidi berkata, jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah 225 kes iaitu penurunan 38 kes berbanding 263 kes semalam (05 Julai 2021).
“Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau,” katanya.