KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melahirkan kekesalan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab Syarikat Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd (AJSB) yang telah berulang kali menyebabkan gangguan bekalan elektrik susulan kerja-kerja pengorekan.
Kecuaian dan kesilapan AJSB itu bukan sahaja menimbulkan kerumitan kepada pengguna SESB yang terlibat malah menyebabkan kerugian yang tinggi kepada SESB dan secara langsung turut menjejaskan imej syarikat.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset ), Ir. Idris Mohd Noor berkata, SESB tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas AJSB apabila kes terbaru berlaku lagi pada Khamis di Jalan Universiti Malaysia Sabah berhadapan dengan Alam Mesra.
“Di sebalik usaha-usaha pencegahan yang dilakukan bersama mereka termasuk dengan pihak JKR, insiden seperti ini tetap berulang dan SESB juga sedang dalam proses akhir untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Korekan terkini telah berlaku pada 1 Julai 2021, jam 11.42 pagi dan pasukan SESB yang tiba di tempat kejadian pada jam 12 tengah hari terus melaksanakan kerja-kerja mengesan kerosakan kabel dan berjaya memulihkan bekalan semula pada jam 1.00 petang.
Kejadian ini telah menjejaskan kehidupan dan aktiviti harian kepada lebih 1,000 pengguna berdekatan menyebabkan gangguan bekalan di kawasan Taman Putera Jaya, Pekan Menggatal, Jalan Sulaman serta kawasan sekitar yang berdekatan.
Justeru itu, SESB memohon supaya pihak kontraktor dan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti pengorekan di bahu jalan kepada SESB agar aktiviti pengesanan kabel dapat dilakukan sebelum kerja-kerja pengorekan dibuat.
Perkara ini dapat menjamin keselamatan dan sekaligus mengelakkan insiden gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan, katanya lagi. Beliau berkata sebanyak 78 kes korekan yang dilakukan oleh AJSB telah dimajukan untuk tindakan undang-undang oleh SESB.
“Kita berharap tindakan undang-undang dapat dipercepatkan,” katanya lagi.