ADO Kiulu Justin Ginduk (tengah) memberi taklimat kepada Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (kanan) mengenai pengagihan bantuan makanan kepada masyarakat Kiulu yang terjejas oleh PKP berikut pandemik Covid-19.
KIULU: Sebanyak 4,852 bakul makanan di edarkan selepas mendengar rintihan keluarga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.
Menurut Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk, pembahagian bakul makanan oleh Pejabat Daerah Kecil Kiulu bersama Unit Pembangunan Masyarakat Kiulu (UPPM) itu bermula sejak Selasa lalu (29 Jun), yang turut melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua- ketua kampung di kawasan tersebut.
Lebih 400 individu yang tersenarai dibawah e-Kasih turut menerima bakul makanan.
“ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai telah meminta Pejabat Daerah dan Pejabat UPPM Kiulu memastikan bantuan tersebut diagihkan segera kepada yang memerlukan.
“Beliau (Joniston) juga menyarankan agar pengagihan bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan, tanpa mengira fahaman politik,” kata Justin.
Joniston berada di Pusat Komuniti Kiulu pada hari Selasa dan Ahad bagi memantau pengendalian bakul makanan kepada ketua-ketua JPKK untuk diedarkan kepada keluarga yang terjejas oleh PKP.
Justin juga mengucapkan penghargaan kepada semua ketua JPKK dan ketua kampung atas kerjasama baik, terutama sekali dalam memastikan pengagihan dilakukan dengan cepat.
Sementara itu, ketika dihubungi, Joniston mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kecil dan UPPM Kiulu kerana berjaya mengendalikan pengedaran bakul makanan dengan cekap.
Tentang laporan berita mengenai seorang ibu tunggal di Kg Ranap, Kiulu yang menaikkan “bendera putih” sebagai tanda memohon pertolongan, Joniston berkata terdahulu, salah seorang kakitangan pejabat UPPM telah menyampaikan bakul makanan kepada wanita tersebut pada hari Rabu lalu (30 Jun).
Walau bagaimanapun, tiada bendera putih dikibarkan di rumah tersebut.