Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong berkata parti itu telah menyediakan sepasukan peguam untuk menangkis kompaun yang dikenakan kerana dine-in di premis premis makanan.
Katanya, ini berikutan kebimbangan orang ramai berkenaan dikenakan kompaun kerana dine-in.
“Pertama, jangan takut. Kedua, buka sahaja kedai makan kamu. Ketiga benarkan dine-in.
“Akhirnya, ikuti prosedur operasi standard (SOP) lama sehingga SOP baharu diumumkan,” kata Junz dalam kenyataan media hari ini.
Mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah itu menambah, pihak yang dikompaun/disaman kerana dine-in boleh menghubungi beliau.
“Warisan telah menyediakan sepasukan peguam berpengalaman yang bersedia membantu secara percuma.
“Warisan akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman balik pihak-pihak yang cuba menyusahkan rakyat,” ujarnya.
Junz juga mengingati orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP.
“Cuma ingat. Patuhi SOP lama selagi SOP baru belum diumum.
“Maksudnya imbas suhu sebelum masuk ke premis, jarakkan 1 meter di antara satu sama lain dan pakai pelitup muka semasa tidak makan/minum,” katanya.
Beliau menjelaskan Sabah mempunyai hak-hak dan autonomi-autonomi yang ini mesti dihormati oleh Putrajaya.
“Memandangkan Ketua Menteri belum tarik balik pengumumannya, pengumuman tersebut adalah terpakai.
“Akhir sekali, saya minta Sabahans beranikan diri menegakkan hak-hak kita sebagai Sabahans, kerana kita di pihak yang benar,” katanya.