Hj. Yahya Hj. Ahmad
KOTA KINABALU: Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) menyambut baik keputusan Kerajaan dalam mengagihkan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen bagi pengagihan bakul makanan.
Presidennya, Hj. Yahya Hj. Ahmad berkata, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu sangat wajar dan seharusnya diberi pujian.
“Jika peruntukan itu digunakan sepenuhnya pasti ramai isi rumah boleh mendapat manfaatnya di saat semua orang dalam Kawasan Parlimen berada dalam situasi sukar sepanjang pandemik Covid-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berharap peruntukan tersebut diurus dengan bijak dan mampu sedikit sebanyak menampung keperluan rakyat secara sentuhan prihatin dan berpengurusan berhemah beramanah.
PRESBAH juga mahu budaya menampal gambar pemimpin dan lambang parti pada apa jua bentuk bantuan yang bukan datang daripada duit peribadi atau parti dihentikan.
“Kita berpandangan budaya menampal gambar pemimpin dan lambang parti dalam apa juga bentuk bantuan yang bukan sumbangan datang dari duit peribadi atau parti harus dihentikan.
“Bila bantuan itu daripada peruntukan Kerajaan ianya salah bila dianggap seperti sumbangan peribadi atau bantuan parti…kita harus bijak membezakan.
“Bila bantuan itu turun dari sumbangan peruntukan Kerajaan, maka meletakkan gambar logo Kerajaan jika dianggap perlu ia dikira sangat berasas.
“Rakyat akan faham bantuan itu telah disalurkan Kerajaan kepada setiap pemimpin kawasan untuk mengurusny. Maka dengan sendirinya Kerajaan akan dihargai dan pemimpinnya akan menumpang tuah dapat nama berkhidmat cemerlang didalam Kerajaan yang baik prihatin,” katanya.