KOTA KINABALU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggunakan dana simpanan di dalam Akaun 2 terlebih dahulu untuk pemohon pengeluaran i-Citra.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang akses bagi pengeluaran Akaun 1 sebaliknya hanya dilakukan sekiranya jumlah simpanan Akaun 2 pemohon tidak mencukupi.
Beliau berkata, semua ahli berusia di bawah 55 tahun adalah layak memohon i-Citra dengan jumlah pengeluaran sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki dalam Akaun 1 dan 2.
Jumlah pengeluaran yang diluluskan itu akan dibayar bagi tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 serta tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.
“Jika jumlah (simpanan) Akaun 2 tidak mencukupi, barulah kita akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Akaun 1. Kami cuba mencari keseimbangan iaitu antara membantu ahli yang memerlukan dan pada masa sama memastikan agar mereka juga mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations’ (Bicara MIDF) secara maya dengan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Datuk Charon Mokhzani, di sini pada Khamis.