KUALA LUMPUR: Sebanyak enam lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung.
PKPD di Sabah turut membabitkan Taman Jaya Diri di Kota Kinabalu, Kampung Lingkodon di Kota Belud, Kampung Pintas Kubu di Beaufort, Kampung Muhibbah di Putatan dan Kampung Goshen di Kota Marudu.
Selain itu katanya, PKPD juga akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Pahang, Melaka, Sabah serta sebuah kilang dan dua asrama pekerja di Perak, bermula Rabu ini hingga 16 Julai depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kilang di Perak yang dikenakan PKPD ialah Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan asrama pekerja Latexx Village, Taiping.
Katanya, berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila 237 kes positif direkodkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 795 saringan.
“PKPD turut dilaksanakan di asrama pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Taman Industri Kamunting Aman, Kamunting, Perak.
“Sebanyak 213 kes positif direkodkan selepas KKM melakukan 561 saringan dalam kalangan pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya PKPD juga akan dilaksanakan di Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang selepas 369 kes positif COVID-19 dikesan daripada 5,219 saringan yang dijalankan.