Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 232 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,677 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lima kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Kota Kinabalu dan tiga kes di Kudat.
Katanya, daripada 232 kes jangkitan baharu hari ini, 131 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 29 kes adalah daripada saringan kluster, 16 kes adalah daripada saringan bergejala, 24 kes daripada saringan bersasar dan 32 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Terdapat satu kluster baru, Kluster Nahaba 2 – Kota Belud melibatkan jangkitan dalam komuniti yang disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nahaba pada 11 Jun 2021.
“Katanya, kes indeks adalah lelaki, 57, yang bergejala demam sejak 14 Jun 2021 sebelum disahkan positif Covid-19 di Hospital Kota Belud pada 20 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 136 individu terdiri daripada ahli keluarga serta kontak rapat mendapati 26 lagi kes positif.
Ia termasuk sembilan (9) kes baru, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 27 kes.
“Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Kota Belud, Hospital Queen Elizabeth dan PKRC Kota Belud,”katanya.
Selain itu Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, sebanyak 1,331 premis perniagaan telah diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Katanya, lima notis peringatan dikeluarkan iaitu dua di daerah Sandakan, dua di daerah Telupid dan satu di daerah Ranau.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP ke atas 267 premis perniagaan dan 115 individu di 18 kawasan. Tiada kompaun dikenakan ke atas individu dan premis,” jelasnya.