Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong pendirian Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berhubung keputusan Kerajaan Negeri melonggarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi di Sabah.
Jelasnya, ia merupakan satu langkah awal pemulihan ekonomi di negeri Sabah menerusi pelaksanaan Fasa Satu PPN dengan mengekalkan sebahagian besar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Dalam pada itu, beliau juga mahu agar penggubalan SOP dilaksana berdasarkan situasi Covid-19 di negeri ini.
Mengikut rekod, sehingga semalam kes Covid-19 di Sabah sudah menunjukkan penurunan kes walaupun belum sampai ke tahap hijau lagi.
Mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang mengatakan , Kerajaan Negeri tidak sepatutnya membuat SOP yang berbeza ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi Covid-19.
Jafry menegaskan, ianya tidak adil untuk semua negeri mengikut SOP sama sedangkan hanya beberapa negeri menjadi menyumbang peningkatan kes.
“Mungkin ini masa yang tepat untuk kerajaan melihat semula SOP yang dibuat dan mula membenarkan aktiviti yang boleh dan sesuai mengikut keadaan semasa”.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan untuk membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Antara yang dibenarkan termasuk beberapa aktiviti sosial dan ekonomi antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya serta kedai gunting rambut.
Selain itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan juga turut dibenarkan beroperasi dan akan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, selain kilang berasaskan kayu dan perabot.
Justeru katanya, perkara yang perlu diambil perhatian pada masa ini adalah penguatkuasaan peraturan dan SOP yang telah ditetapkan agar seiring dengan usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19.