Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baru Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 242 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,445 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Kota Belud dan satu kes di Tawau.
“Terdapat satu kluster baru iaitu Kluster Limbawang – Beaufort melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti ekoran majlis pengebumian di Kg Gelilia Padas Damit pada 20 Jun 2021.
“Kluster ini dikesan apabila kes indeks, lelaki, 35, dari Kg Kelabu disahkan positif ujian RTK-Ag di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun 2021, setelah mengalami gejala demam sejak 19 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, saringan kontak rapat masing-masing mendapati empat kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu majlis terbabit.
Tambahnya, terdapat bukti penularan menerusi kontak sosial yang melibatkan ahli keluarga di empat lokaliti berbeza sekitar mukim Limbawang.
Katanya, daripada 160 kontak yang disaring, 21 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 30 kes.
Dalam pada itu katanya. Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Public, Kota Kinabalu berkuat kuasa 02 Julai sehingga 15 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.