KOTA KINABALU: Sabah terus menggiatkan program vaksin apabila kerajaan negeri sudah menjejaki seramai 19,310 penduduk di kawasan pedalaman Sabah menerusi Program Mobile Outeach vaksin Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sejak dilaksanakan pada 18 Mei lalu, pasukan bergerak yang disertai oleh 20 pasukan itu sudah memasuki 195 lokaliti di 16 buah daerah bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman diberikan vaksin.
“Setakat ini, 19,310 dos pertama vaksin jenis Pfizer dan Sinovac telah diberikan kepada penduduk pedalaman menerusi program jerayawara (outreach) ini,” katanya seperti yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena majlis penyerahan Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 hari ini.
Jelas Christina, secara keseluruhan Sabah menerima sebanyak 628,390 dos vaksin setakat 28 Jun dan daripada jumlah itu, sebanyak 555,761 dos pertama dan kedua telah diberikan kepada penerima. Masih terdapat baki 72,598 dos yang belum digunakan.
Terdapat sebanyak 152 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah yang melibatkan fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik swasta serta dewan serta premis swasta yang dijadikan PPV.