Para pelaut yang sedang menunggu giliran menerima vaksin COVID-19
LABUAN: Para pelaut yang bekerja dalam sektor perkapalan di Labuan digesa untuk mengambil vaksin COVID-19.
Menurut Pengarah Jabatan Laut Malaysia Labuan, Alimuddin Amirudin, pihaknya menggalakkan para pelaut untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi mencapai imuniti berkelompok.
“Kita galakkan para pelaut untuk ambil vaksin COVID-19 bagi kepentingan imuniti berkelompok dalam komuniti perkapalan itu sendiri.
“Bagi mereka yang enggan mengambil vaksin kita akan serahkan senarai nama dan pihak Jabatan Kesihatan akan mengambil tindakan dengan memberi kaunseling kepada mereka kerana ini melibatkan penyakit yang boleh menjejaskan industri perkapalan di Labuan,”katanya semasa ditemui pada Program Pemvaksinan melibatkan para pelaut di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, semalam.

Para pelaut sedang didaftarkan oleh petugas Jabatan Kesihatan Labuan
Jelasnya, program itu adalah susulan Sambutan Hari Pelaut pada 25 Jun lalu yang disambut di seluruh Negara.
“Program ini adalah kerjasama dengan pihak Jabatan Kesihatan dan LDA Labuan (Holdings) Sdn. Bhd. dan kita berusaha mendapatkan pelaut-pelaut untuk divaksin, untuk hari ini sahaja kita sasarkan seramai 100 orang pelaut bakal menerima vaksin COVID-19.
“Esok pula kita sasarkan sekitar 200 orang pelaut akan menerima vaksin dan kita akan teruskan sehingga 416 orang pelaut mengikut senarai yang kita ada menerima vaksin COVID-19,”jelasnya.
Tambahnya, Jabatan Laut Malaysia Labuan akan berbincang dengan Jabatan kesihatan Labuan kerana maklum balas yang menggalakkan daripada komuniti pelaut yang ingin mengambil vaksin COVID-19.
“Kita dapat permintaan lebih ramai jadi kita akan buat perbincangan dengan Jabatan Kesihatan untuk menambah vaksin untuk para pelaut sekaligus boleh menyumbang kepada pengurangan kes positif di Labuan,”katanya lagi.