Albert Alin
TUARAN: Masyarakat di negeri ini khususnya di Tuaran disaran agar jangan menunggu disaat-saat akhir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 yang kini diberi Kerajaan secara percuma.
Ketika menyokong usaha Kerajaan untuk mencapai sasaran 30,000 orang di vaksin dalam sehari mulai Julai ini, Development Economic Affairs Leadership Skills (DEALS), sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) di Tuaran berharap agar orang ramai khususnya di luar bandar yang belum lagi mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar berbuat demikian.
Setiausaha DEALS, Albert Alin berkata, usaha murni Kerajaan ini harus disokong oleh setiap NGO di negeri ini dalam memberi kesedaran kepada orang ramai dengan menyebarluaskan maklumat tersebut melalui pelbagai platform media sosial.
“Berdasarkan laporan yang disiar dalam salah satu media elektronik, Sabah adalah antara negeri Di negara ini yang amat perlahan dalam proses penyuntikan kepada warganya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang berhasrat mencapai sasaran 30,000 orang divaksin setiap hari mulai 1 Julai ini.
Albert yakin sekiranya setiap NGO memainkan peranan menyebarluaskan maklumat khususnya di luar bandar untuk menimbulkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya mendapatkan vaksin hasrat Kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok (herd Immunity) akan tercapai sepenuhnya.
“Penambahan pusat-pusat pemberian vaksin juga memudahkan rakyat mendapat vaksin,” katanya.
Beliau juga mengingatkan anak-anak agar membantu mendaftarkan ibubapa mereka melalui MySejahtera untuk mendapatkan temujanji bagi mendapatkan vaksin.
Mereka tidak seharusnya khuatir terhadap keselamatan ibubapa mereka kerana setiap petugas di pusat pemberian vaksin akan meneliti maklumat khususnya sejarah perubatan seseorang sebelum divaksin.