Ismail Sabri Yaakob
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengenakan beberapa lagi sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan berkuat kuasa Khamis ini susulan situasi semasa wabak Covid-19 di Wilayah Persekutuan itu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya semua pengembara wajib menjalani ujian RT-PCR iaitu tiga hari sebelum masuk dan aktiviti kapal kumpit ditangguhkan buat sementara waktu.
Jelasnya, penduduk asal Labuan wajib dikuarantin selama 10 hari di rumah manakala tempoh yang sama untuk penjawat awam sama ada di rumah sendiri atau hotel tertentu ditetapkan.
“Bagi pelawat asing dari luar negara, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel yang ditetapkan pihak berkuasa untuk pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pengguna kad harian ‘transporter’ diwajibkan mengambil ujian RT-PCR selang dua minggu selain mereka juga wajib lagi menjalani ujian RTK Antigen pada setiap minggu.
“Sign-on pula masih lagi dibenarkan tetapi hanya untuk warganegara dan mereka turut wajib proses kuarantin selama 14 hari dengan satu kali ujian RT-PCR pada hari ke-10,” katanya.
Ismail Sabri memaklumkan, prosedur kemasukan mereka adalah terpakai secara sepenuhnya namun keutamaan diberi kepada individu yang sudah menerima vaksin Covid-19.
Begitu juga tambah beliau, aktiviti sign-off yang tetap dibenarkan dengan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari dan mereka turut dikehendaki perlu menjalani satu kali ujian RT-PCR.
Beliau menegaskan, pelaksanaan beberapa sekatan tambahan tersebut yang bermula pada lusa akan diteruskan sehingga suatu jangka waktu diberitahu kemudian.