KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan RM500 kepada pekerja yang kehilangan pendapatan mulai Oktober ini berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berkata, bantuan itu itu dijangka memanfaatkan sehingga satu juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta ringgit.
Katanya, ia merupakans alah satu daripada tiga bantuan terbaharu yang disalurkan oleh kerajaan.
“Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang, insya-Allah.
“Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19.
“Walaupun berjuta rakyat Malaysia telah menerima manfaat bantuan tunai dari Kerajaan sejak Mac 2020 dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan dalam bentuk yang pelbagai, saya faham bantuan perlu terus dipertingkat selagi kemelut ini berlanjutan.
“Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan dapur.
“Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu,” katanya.