Agnes Keith House
KOTA KINABALU: Cadangan Jabatan Muzium semalam yang mahu membangunkan Rumah Agnes Keith sebagai “Dark Tourism” menerusi program E-seram mengundang pelbagai reaksi daripada banyak pihak.
Justeru itu, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menegaskan bahawa ia adalah satu cadangan untuk menambah nilai setiap destinasi pelancongan di negeri Sabah menerusi kaedah ‘story-telling’.
Ia termasuk usaha untuk mempromosi tempat pelancongan dengan menonjolkan cerita, mitos dan lagendanya kepada pelancong, katanya.
“Ramai yang agak terkejut dengan cadangan itu kerana mungkin kurang faham dengan konsep pelancongan itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, program E-seram itu hanyalah memberi peluang kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman baru dengan bermalam di rumah seterusnya mengetahui lebih dalam tentang sejarah penulis terkenal
Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George.
“Program ini tidak sama sekali menjejaskan nilai warisan Rumah Agnes Keith malah akan menarik lebih ramai pengunjung terutama yang mempunyai minat mendalam terhadap sejarah,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, beliau telah mengarahkan Jabatan Muzium membuat penelitian terperinci kesesuaian cadangan itu sebelum dilaksanakan.
Ini termasuklah mendapatkan pandangan para pemain industri pelancongan negeri Sabah.
Istilah ‘dark tourism’ pada asalnya telah dicetuskan oleh dua profesor dari Glaslow Caledonian University, Malcolm Foley dan John Lennon pada tahun 1996 yang membawa maksud pelancongan yang berteraskan kegelapan.
Destinasi yang dikunjungi menyimpan sejarah seperti peperangan, kemusnahan atau tragedi yang terjadi di satu masa dahulu.
Sebagai contoh, ‘dark tourism’ sebelum ini juga telah wujud lama di negeri Sabah.
Antaranya, Kundasang War Memorial yang mana ia merupakan Tugu Peringatan Perang untuk memperingati seramai 2,428 tentera Australia dan British yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua di Kem Tahanan perang Sandakan.
“Kita mempunyai banyak lagi tempat pelancongan menarik, pulau yang cantik, gunung yang indah, namun disebalik keindahan ini ada satu jenis pelancongan yang kurang menarik iaitu melawat kawasan yang mencatatkan sejarah tragedi, kekejaman, ataupun mengerikan dan ia dikenali sebagai ‘Dark Tourism’.
Oleh itu, bagi yang mempunyai minat mendalam dengan sejarah,maka Rumah Agnes Keith pastinya destinasi yang menarik untuk dikunjungi.