KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan memastikan terumbu karang yang rosak akibat dilanggar sebuah barge yang membawa bahan binaan di perairan Pulau Mabul semalam untuk menjalani proses restorasi.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya sudah mengarahkan para penyelam dari Taman-Taman Sabah untuk membuat penilaian seterusnya membuat restorasi awal.
Katanya, ia melibatkan penilaian tahap kerosakan seterusnya proses restorasi dilaksanakan serta-merta untuk posisikan semula terumbu karang yang rosak dan terbalik agar boleh terus hidup.

Mengikut rekod, Taman-Taman Sabah mempunyai pengalaman luas dalam proses restorasi terumbu karang.
Kejadian yang sama pernah terjadi pada tahun 2006, di mana terumbu karang di Pulau Sipadan rosak dilanggar barge dan seterusnya pada tahun 2019 terumbu karang rosak dilanggar kapal MV Lewang di Taman Tun Mustapha, Kudat.
Berdasarkan maklumat awal, barge membawa muatan bahan binaan bagi projek pembinaan ESSCOM Front Operation Base (FOB) di pulau terbabit adalah dibawah syarikat Hartamas Borneo Sdn Bhd.
Mengikut rekod di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS), projek pembinaan FOB tersebut telah diberikan kelulusan Laporan Cadangan Langkah-Langkah Pengurangan (PMM Report) pada 8 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, JPAS akan meneruskan siasatan berhubung perkara terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran dalam syarat kelulusan PMM yang telah dikeluarkan.

Dalam pada itu, beberapa pegawai daripada pejabat Daerah Semporna bersama agensi-agensi pelaksana juga telah membuat pemeriksaan tapak pagi tadi dan barge terbabit telahpun dialihkan daripada kawasan terumbu karang tersebut.
Untuk rekod, kawasan terbabit tidak terletak dalam mana-mana kawasan yang dilindungi sama ada di bawah Taman-Taman Sabah atau Jabatan Hidupan Liar dan ini menyukarkan penguatkuasaan undang-undang.
Jabatan Perikanan Sabah juga tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk menangani kerosakan terumbu karang di luar kawasan yang dilindungi kerana tidak terkandung dalam Akta Perikanan, 1985.
Walau bagaimanapun, jika terdapat kekurangan daripada segi bidang kuasa dan penguatkuasaan, ia akan ditangani bersama untuk memastikan kita mempunyai peruntukan undang-undang untuk perlindungan dan penguatkuasaan, khususnya mengenai alam sekitar.

“Ia memberi tamparan hebat kepada kita semua kerana ia merupakan habitat kepada spesies terumbu yang mengambil masa ratusan tahun untuk tumbuh dan jarang ditemui selain menjadi tempat pembiakan pelbagai hidupan marin,” kata Jafry.
Apatah lagi perairan di sekitar daerah Semporna menjadi salah satu tumpuan selam scuba di kalangan para pelancong dalam mahupun luar negara.