KOTA KINABALU: Jumlah anggota tentera di Sabah yang telah divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah seramai 10,400 atau 95 peratu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan itu memungkinkan imuniti kelompok dalam kalangan anggota tentera di Sabah akan dapat dicapai lebih awal.
Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau berkata, secara keseluruhan Sabah mempunyai 11,000 anggota tentera termasuk tentera darat, laut dan udara. Daripada jumlah itu, kira-kira 600 orang sahaja lagi yang belum divaksin.
“Kita mahu anggota tentera yang merupakan barisan hadapan negara ini divaksin terutama anggota yang bertugas di sekatan jalan raya dan Op Benteng yang menjaga keselamatan di lautan serta di sempadan negara.
“Penting untuk kita memberikan vaksin kepada seluruh anggota tentera sebagai persediaan untuk mempertahankan negara. Bayangkan jika seluruh kem tentera ini dijangkiti, kita tidak akan boleh menggerakkan anggota sekiranya berlaku apa-apa kejadian terhadap negara.
“Atas sebab itu, kita menyasarkan untuk memberikan vaksin kepada 99 peratus anggota tentera. Satu peratus yang tidak divaksin itu mungkin anggota yang bertugas di luar kawasan,” katanya selepas merasmikan program vaksinasi pandu lalu Tentera Darat Malaysia di Kem Lok Kawi hari ini.
Untuk hari ini, 636 orang anggota termasuk keluarga dan kakitangan awam menerima vaksin menerusi program pandu lalu tersebut.