KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan hari ini pelbagai langkah kini giat diambil bagi menangani masalah capaian internet lemah yang dihadapi di Tenom.
Pihak MCMC telah pun terdahulunya mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Ini susulan laporan berita BERNAMA pada 24 Jun 2021 mengenai beberapa orang guru dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah yang memandu sejauh 40 kilometer ke kawasan kampung anak muridnya di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14 semata-mata untuk menghantar bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) gara-gara kerana capaian Internet lemah,
“Justeru, MCMC ingin memaklumkan bahawa sebuah menara komunikasi sedang dalam proses pembinaan di Kg. Bamban dan pembinaan tersebut dijangka siap pada bulan April 2022.
“Sebuah lagi menara komunikasi baharu akan dibina berdekatan dengan Kg. Batu 14, di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pembinaan tersebut akan bermula pada awal tahun 2022,” kata Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan media hari ini.
Pembinaan kedua-dua menara komunikasi tersebut dijangka dapat mempertingkatkan liputan capaian Internet di kawasan yang dimaksudkan selain membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar.