JEFFERSON (tengah) menyerahkan 500 bun kepada Setiausaha JPKK, Jovita Johnny.
TAMPARULI: Prihatin terhadap beberapa penduduk yang dikuarantin akibat Covid-19, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad menyumbangkan 500 bun kepada Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Molisau Tenghilan.
Syarikat tersebut yang merupakan rakan kongsi pintar Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), menyumbangkan bun jenis Creamos keluaran mereka untuk diagihkan kepada lebih kurang 20 orang penduduk di situ terutamanya yang dikuarantin akibat Covid-19.
Mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Kecil Tamparuli, Jefferson Jonathan berkata, walaupun jumlah sumbangan tersebut tidaklah seberapa, namun tujuannya sangat murni iaitu bagi membantu keluarga yang dikuarantin dan membuat kuarantin kendiri (self quarantine) di rumah.
“Kita amat berterima kasih kerana ada pihak yang sudi menyumbang dalam pelbagai cara, apatah lagi keadaan ketika ini ekonomi penduduk sangat tidak menentu dan mereka juga agak sukar untuk bergerak ke sana ke mari untuk membeli barangan keperluan kerana sedang dikuarantin,” katanya.
Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak Pejabat Menteri KPLB Sabah dan JPKK yang bekerjasama dalam membantu penduduk di situ walaupun dalam keadaan yang tidak terlalu dirancang.
“Kita sama-sama doakan agar suasana akan kembali normal seperti dahulu selepas negara kita mencapai 80% imuniti berkelompok nanti,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik KPLBS, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, yang mewakili syarikat Kim Teck Cheong, Harris J Mintu, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, Setiausaha JPKK, Jovita Johnny dan Ketua Kampung, KK Fredolin Ginduk.