KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan di negara ini akan menerima vaksin Covid-19 mulai 1 Julai ini.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) , Khairy Jamaluddin seperti yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada kawasan tapak pembinaan yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pelaksanaan tersebut akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi memastikan suntikan diberi dengan kadar segera.
“Program pemberian vaksin ini akan diperluaskan kepada industri lain dan ia tidak akan mengganggu perjalanan proses sedia ada.
“Malah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melicinkan program berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Maritim di Pelabuhan Klang hari ini.