PUTRAJAYA: Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Mazlan, 59, dilahirkan pada 25 Disember 1961 di Kota Setar, Kedah, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber.
Beliau pernah menjawat jawatan di daerah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah (TKPD) Melaka Tengah; TKPD Tanah Merah, Kelantan; TKPD Shah Alam, Selangor; Pegawai Staf Latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Pegawai Belanjawan, Bahagian Latihan Bukit Aman.
“Selain itu, Mazlan pernah menjawat Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Perlis dan KPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
“Di peringkat Kontinjen atau Negeri, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kelantan,” jelas kenyataan itu hari ini.