PUTRAJAYA: Jumlah kes Covid-19 di seluruh negara hari ini mencatatkan kes sembuh lebih banyak daripada kes positif.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini kes sembuh Covid-19 ialah 6,775 kes berbanding kes positif iaitu 5,812 kes.
Katanya, sebanyak 82 kes kematian dicatatkan dengan 870 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 433 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 60,117 kes aktif.
Selangor yang terus menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,187 kes diikuti Kuala Lumpur (771), Sarawak (673), Negeri Sembilan (658), Pulau Pinang (270) dan Melaka (223).
“Empat negeri dan satu Wilayah merekodkan kes di bawah 200 iaitu Kedah (186), Johor (196), Sabah (156), Pahang (139) dan Labuan (123).
“Baki negeri mencatatkan kes di bawah 100 kes iaitu Kelantan (98), Perak (72), Terengganu (46), Putrajaya (14) manakala Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.