KOTA KINABALU: Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Terbang’ ini semakin popular di pentas terbarunya iaitu Bigo Live.
Felix Agus yang juga terkenal dengan lagu-lagu Dusunnya seperti Nokosuai Ginovo Ku dan Ganit Piginawaan menghiburkan peminat-peminatnya menerusi aplikasi Bigo Live sejak hampir setahun lalu, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sudah hampir satu tahun saya gunakan Bigo Live untuk bersama dengan peminat di luar sana. Saya memilih Bigo ni kerana Covid-19. Saya mula Bigo Live sejak mula PKP.
“Saya berjinak-jinak dengan Bigo sebagai punca pendapatan, sebagai punca mata pencarian saya.
“Saya tidak berhenti dari Bigo kerana di masa PKP ini mahu buat persembahan, menganjurkan program pun tidak dapat. Punca kewangan pun susah, punca pendapatan tidak kukuh. Jadi saya memilih Bigo…setakat ini Bigo adalah platform terbaik untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada WO.
Katanya, selain menggunakan platform tersebut untuk menyanyi secara Live, dia juga membawa peminatnya bercerita dan berkongsi ilmu dalam bidang nyanyian.

Tentang sambutan peminat, Naib Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Musim Ketiga itu katanya sambutan setakat ini bagus dan amat memberangsangkan.
“Viewers ini saya anggap berminat untuk stay dalam room saya dan mereka yang banyak membantu saya dalam room,” tambahnya yang sentiasa menghargai sambutan dan sokongan daripada peminatnya.
Para peminat boleh bersama dengan Felix di Bigo Live dengan memuat turun aplikasi tersebut daripada Play Store untuk android dan App Store untuk IPhone dan masukkan Id bigo: felixagus dan akan melihat secara ‘live’. Bigo ni boleh dikongsi ke dalam aplikasi WhatsApp.
Ditanya berapakah pendapatan yang diperolehinya daripada Bigo Live setakat ini, Felix berkata memang benar Bigo Live membantunya menjana pendapatan untuk menampung keperluan hidupnya dan keluarga.
“Betul, saya sendiri kalau saya tidak dapat duit daripada Bigo mungkin saya sudah berhenti.
“Bigo ini bergantung kepada kandungannya yang mesti mahu mantap. Isi siaran perlu pelbagai.
“Saya tidak dapat memberitahu jumlah pendapatan yang saya perolehi. Sekiranya ingin mengetahui jumlah pendapatan, silalah membuat Bigo Live, menjadi host content dan lain-lain…semakin tinggi tugasan semakin tinggi bayaran di Bigo,” katanya.
Di samping kesibukannya dengan Bigo Live, Felix juga memenuhi masa PKP ini dengan mencipta lagu.
“Saya baru sahaja menyiapKan lagu saya tetapi belum release. Saya akan release sekiranya lagu sudah sedia di media sosial,” dedahnya.

Diminta pendapatnya tentang cabaran PKP kepada artis tempatan, Felix berkata cabarannya terutamanya bagi artis sepertinya yang berkeluarga untuk meneruskan kehidupan.
“Cabaran yang luar biasa pada saya. Banyak aktiviti terhalang, untuk mencari rezeki pun amat susah. Tidak dapat membuat persembahan, program pun tidak dibenarkan, sukar untuk bergerak ke sana sini…nasib ada platform lain untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Ditanya soalan ‘bonus’ sudahkah dia daftar untuk diberikan vaksinasi Covid-19, Felix berkata dia belum divaksin tetapi sudah mendaftar.
“Pendapat saya mengenai program imunisasi ini ialah feedback daripada orang ramai mengatakan vaksin ini bagus,” katanya, sambil menasihatkan semua ahli masyarakat di luar sana supaya segeralah untuk mendaftar untuk menerima vaksin untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.