KUALA LUMPUR: Pelbagai lagi bantuan sedang diperincikian oleh Kementerian Kewangan yang akan disalurkan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan baki RM100 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi serta RM200 bilion dari Belanjawan 2021 yang masih belum dibelanjakan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, bantuan semasa PPN masih dalam proses perincian dan kajian yang lebih lanjut mengenai langkah seterusnya yang boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan yang akan datang.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuklah pakej Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Tidak terpisah, saling melengkapi dan semuanya dijalankan berterusan; inilah inti pati bantuan yang telah dilaksanakan, dan yang sedang dirancang di bawah PPN.
“PPN akan dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau petunjuk utama yang perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa yang seterusnya. Ini bermakna, sekiranya nilai ambang yang ditetapkan tidak dicapai, negara tidak akan bergerak ke fasa berikutnya di dalam PPN,” katanya dalam Laporan LAKSANA ke-58.
PPN diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun 2021, dengan petunjuk utama dipantau ialah bilangan kes jangkitan harian; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU dan tahap populasi yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.