Simsudin Sidek
LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan mencadangkan penambahan bilangan khemah dan kerusi menunggu untuk mengelak kesesakan seperti yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (KML).
Ketua Cabang PKR Labuan Simsudin Sidek berkata, penambahan perlu diambil untuk memastikan amalan penjarakan fizikal dipatuhi.
“Penambahan khemah dan kerusi juga bertujuan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung,” katanya mengulas gambar tular kesesakan di KML.
Simsudin seterusnya meminta pihak berkuasa membuat pemantauan lebih ketat untuk memastikan orang ramai tidak berkumpul di khemah hadapan dewan bagi mengurangkan kesesakan dengan menegaskan kehadiran mengikuti masa temu janji dan tidak hadir lebih awal.
Simsudin menegaskan, kesesakan PPV dijangka meningkat kerana Labuan bakal menerima bekalan vaksin yang tinggi.
“Justeru, terdapat kerisauan keadaan berkenaan membawa kepada risiko penularan wabak sekali gus mencetus kluster baharu,” katanya.
Simsudin menambah, pertambahan kadar vaksinasi akan turut menyebabkan peningkatan kesesakan di pusat vaksinasi.
Beliau bagaimanapun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha gigih dan kerja keras Jabatan Kesihatan Labuan dalam melaksanakan sistem efektif dalam merawat dan membendung wabak COVID-19 daripada terus menular di pulau ini.
Simsudin turut menzahirkan rasa syukur atas usaha Kerajaan membawa lebih 30,000 dos vaksin dalam keadaan penduduk amat memerlukan untuk diagihkan ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada waktu yang sama, beliau memohon pihak terbabit melaksanakan kaedah vaksinasi secara pandu lalu (drive-thru vaccination) agar mengadakannya di kawasan letak kereta yang luas.
Menurut Simsudin, kaedah itu amat wajar khusunya untuk pulau Labuan memandangkan varian membimbangkan telah dikenalpasti antara faktor Labuan mengalami lonjakan kes yang besar.
Simsudin menyatakan pihaknya akan terus menyokong langkah menangani COVID-19 bagi menjamin kelangsungan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat di Labuan.