Penduduk Labuan yang menunggu giliran untuk divaksinasi.
LABUAN: Sasaran mencapai 80 peratus daripada kira-kira 100,000 penduduk Pulau Bebas Cukai Labuan divaksinasi dijangka dapat dicapai berikutan sambutan menggalakkan dari kalangan penduduk.
Pemantauan media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (KML) menunjukkan sambutan penduduk kampung amat menggalakkan dengan kehadiran mencecah lebih 6,000 sehari.
“PPV Dewan Mutiara KML mula dibuka 18 Jun lalu untuk mengendalikan suntikan vaksin penduduk beberapa kampung sekitar,” jelas pengumuman dari Jabatan Kesihatan WP Labuan.
PPV Dewan Mutiara KML menjadi tempat penduduk mendapatkan suntikan vaksin yang didaftarkan melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), ketua kampung dan persatuan penduduk.
Di samping pendaftaran melalui pemimpin masyarakat, penduduk juga dibenarkan mendapat suntikan secara pandu lalu di dua PPV yang terletak di Medan Selera Labuan dan Arena Boling Antarabangsa Labuan.
Sehingga kini terdapat tujuh PPV di Labuan yang melibatkan Jabatan Kesihatan Membedai, Darul Kifayah, JKR, Klinik Kesihatan Taman Mutiara, UMSKAL dan Bomba Rancha-Rancha.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari memaklumkan kepada media, kapasiti pemberian vaksin ketika ini mampu mencapai 5,000 sehari dan 120,000 sebulan.
Pemberian vaksin di sini dijalankan melalui tiga fasa yang didahului penduduk Labuan, diikuti pekerja sektor minyak dan gas dan ketiga penduduk penempatan pelarian di Kg Kiamsam dan Kg Muslim.
Kemaskini rekod jangkitan Covid-19 di Labuan kelmarin (22/6) menunjukkan terdapat penurunan kes kepada 104 berbanding 130 sebelumnya.