KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 memutuskan untuk membenarkan rentas daerah meliputi Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang kepada perkhidmatan e-hailing, teksi yang berdaftar dengan e-hailing dan
perkhidmatan penghantaran makanan berkuatkuasa 23 Jun 2021 tanpa memerlukan surat kebenaran rentas daerah daripada Polis.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran ini diberikan kepada pemandu e-hailing dan teksi yang berdaftar dengan e-hailing mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Katanya, masa operasi yang dibenarkan bermula jam 6.00 pagi hingga jam 8.00 malam setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang sahaja kecuali tujuan perubatan atau
kecemasan dengan had maksimum dua orang penumpang.
Sementara itu katanya, pada hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan 27 kes iaitu daripada 166 kes semalam (21 Jun 2021) kepada 193 kes (22 Jun 2021).
“Sabah juga mencatatkan tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Tawau dan satu kes lagi di daerah Sandakan,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama dinyatakan berkuat kuasa pada 24 Jun sehingga 07 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Selain itu Kerajaan Negeri juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud bermula 24 Jun sehingga 07 Julai 2021.