Simon Hong Kok Huong
KOTA KINABALU: Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kota Kinabalu (KKFBOA) merasa terkesan dengan penutupan kilang pemrosesan (berasaskan perikanan) QL Marine Products Sdn.Bhd yang dihentikan operasi berkuat kuasa 17 Jun, 2021, atas arahan Jabatan Kesihatan Malaysia disebabkan penularan Covid-19 di premis kilang tersebut.
Pengerusinya Simon Hong Kok Huong berkata, penutupan kilang tersebut memberi impak kepada industri perangkapan ikan khususnya di Kota Kinabalu kerana kilang tersebut merupakan pembeli ikan yang terbesar.
“Dengan penutupan kilang tersebut, pihak kami tidak dapat memasarkan lebihan hasil tangkapan selain daripada pasaran domestik dimana peratusan pasaran domestik adalah 40% dan kilang- kilang pemrosesan berasaskan perikanan adalah 60% daripada jumlah pendaratan ikan harian di Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu.
“Senario sedemikian mendatangkan kerugian kepada ahli-ahli kami yakni pemilik bot penangkap ikan skala komersil yang berjumlah lebih 200 buah kapal yang aktif beroperasi pada masa kini disebabkan ketiadaan pembeli atau kilang tersebut untuk membeli hasil tangkapan selepas memenuhi pasaran domestik.
“Disamping ikan-ikan tersebut mempunyai nilai pasaran yang tinggi berbanding ikan baja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Akibat penutupan kilang tersebut, berkemungkinan sebahagian daripada ahli-ahli KKFBOA tidak menjalankan atau meneruskan operasi penangkapan ikan disebabkan kerisauan tidak dapat memasarkan lebihan hasil tangkapan yang diperolehi sepanjang tempoh kilang tersebut ditutup.
“Jika sekiranya senario ini berlaku, berkemungkinan pendaratan hasil perikanan akan berkurangan dan akan menyebabkan kenaikan harga ikan disebabkan bekalan ikan terhad,” jelasnya.
Simon juga meminta Kerajaan Negeri memberikan keutamaan kepada sector perikanan dalam pemberian vaksin Covid-19.
Ini memandangkan industri perikanan merupakan salah satu sector ekonomi kritikal khususnya membekalkan sumber protin (hasil perikanan) untuk pasaran domestik dan kilang- kilang berasaskan perikanan.
“Maka KKFBOA berpendapat sektor ini perlu dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan Negeri Sabah untuk diberikan keutamaan pemberian vaksinasi bermula daripada pekerja-pekerja kapal penangkap ikan, pemborong ikan serta pekerja-pekerja kilang pemrosesan ikan dan sector berhubungkait dengan industri seperti pengangkutan ikan dan kilangkilang pemrosesan blok ais.
“Langkah ini dirasakan perlu bagi menjamin industri perikanan dapat dijalankan seperti kebiasaannya walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Ini juga penting bagi menjamin bekalan produk perikanan dapat dikekalkan pada tahap optimum dan bagi menjamin masyarakat setempat mendapat bekalan ikan secara konsisten dan kilang-kilang pemrosesan ikan dapat berjalan dengan lancer,” katanya.