Fary (kiri) turut sama membantu dalam proses pengagihan bantuan bakul makanan asas
LABUAN: Para penduduk di lapan lokaliti yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar mula menerima bantuan bakul makanan asas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Dr. Fary Akmal Osman, Agihan Bantuan Bekalan Makanan Ops Wilayah Prihatin Labuan (OPWL) melibatkan hampir 15 ribu penduduk melalui pengagihan berperingkat sebanyak dua fasa.
“Pengagihan fasa pertama sedang berjalan bermula pada 18 Jun yang lalu, agihan bantuan bekalan makanan fasa pertama mengandungi makanan asas iaitu beras, minyak masak, tepung dan gula.
“Manakala fasa kedua pula mengandungi makanan asas dan lain-lain lagi tambahan seperti sardin, teh, biskut yang akan diagihkan sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur.

Fary ( paling kanan) mengagihkan bantuan bakul makanan asas bersama pemimpin masyarakat setempat
“Justeru bagi melengkapkan kedua-dua fasa pengagihan bantuan bekalan makanan tersebut,kesemua penerima perlulah mendaftar Kod QR yang telah disertakan di dalam bakul makanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Beliau turut mengulas mengenai isu yang tular di media sosial menyatakan jenis barangan di dalam bakul makanan yang diterima adalah tidak sama.
“Untuk makluman, seperti yang telah diuar-uarkan Tim OPWL turut menerima sumbangan daripada pihak syarikat swasta dan kami mengagihkan sumbangan ini secara terus kepada penduduk yang terlibat kerana ingin membantu rakyat dengan kadar segera selepas sahaja Lockdown Bersasar Penuh bermula pada Selasa yang lalu,”jelasnya.
Tambahnya, Perbadanan Labuan turut menyediakan bantuan bakul makanan kepada warga Labuan yang terkesan di luar kawasan lapan lokaliti PKPD Bersasar serta beberapa inisiatif bantuan yang lain berupa bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM500.00 kepada pengusaha teksi, pengusaha bas mini dan bas sekolah, dan peniaga belia, dan bantuan kewangan one-off RM300.00 kepada penghantar makanan (rider).
“Menteri Wilayah Persekutuan pada 9 Jun 2021 juga mengumumkan insentif pengecualian pembayaran fi lesen perniagaan kepada PL bagi lesen penjaja dan pasar serta pengurangan 50 peratus kadar sewa rumah dan fasiliti niaga milik PL termasuk pasar awam dan Medan Selera,”katanya
