KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang penggunaan vaksin CanSino untuk golongan pelarian di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan dan mempercepat program imunisasi di negara ini.
Selain itu, katanya, langkah berkenaan dibuat ekoran kesukaran mengenal pasti jumlah kapasiti sebenar pelarian.
“Vaksin CanSino yang akan diperoleh pada Julai nanti, hanya memerlukan satu dos. Jadi kita akan bagi mereka (pelarian) vaksin Cansino,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil yang baru dibuka dengan kapasiti maksimum 10,000 penerima dalam satu-satu masa.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau telah mengarahkan agar semua penduduk di pedalaman atau individu yang tidak mempunyai dokumen lengkap terutama di Sabah dan Sarawak diberikan vaksin terlebih dahulu.
“Jika tiada dokumen tidak mengapa. kita akan suruh mereka tuliskan dahulu segala butiran peribadi.
“Soal ketiadaan dokumen kita akan selesaikan kemudian,” katanya