Bashir Ahmad Kassim
LAHAD DATU: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu pada Kerajaan agar melaksanakan segera moratorium secara automatik selama enam bulan untuk B40 dan M40 serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).
Pengerusinya, Bashir Ahmad Kassim berkata, rakyat terutamanya para peniaga kini berada dalam keadaan tertekan kerana pihak bank tidak memberikan moratorium terutama kepada golongan peniaga kecil dan sederhana.
Katanya, pihak bank menekan para peniaga membayar atau tidak mengambil tindakan guaman jika bayaran tidak dibuat tiga bulan berturut-turut dan semua kos guaman ditanggung sendiri oleh peminjam.
“DPMS hampir setiap hari menerima keluhan para peniaga dan ahli yang mendakwa mereka dalam keadaan yang amat tertekan.
“Mereka tiada wang atau pendapatan untuk membayar sewa kedai sekalipun kerana banyak perniagaan yang ditutup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
“Perniagaan yang beroperasi juga seperti restoran susut pendapatan sebanyak 80 peratus dan tidak mampu untuk membayar balik pinjaman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, pihak bank mengenakan syarat wajib menunjukkan bukti peminjam hilang pendapatan untuk mendapatkan moratorium tiga bulan yang telah diumumkan oleh Kerajaan.
Namun, para peniaga misalnya tiada sebarang bukti yang boleh membuktikan mereka hilang pendapatan melainkan penyata bank dan rekod rekod dalaman perniagaan yang dimana tidak diterima oleh pihak bank.
“Para peniaga tiada slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang daripada pekerjaan,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, ada sesetengah peminjam mendapatkan moratorium dengan dikenakan faedah wajib bayar setiap bulan dimana dalam keadaan begini, faedah ini merupakan satu beban besar bagi para peniaga.
Katanya. DPMS dimaklumkan ramai peniaga sudah tertekan dengan keadaan yang ada ditambah dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dengan jelas memaklumkan situasi PKP sekarang akan berlarutan beberapa bulan akan datang untuk pemulihan penuh.
“Saya merayu kepada pihak Kerajaan untuk melaksanakan segera moratorium secara automatik kepada semua peminjam.
“DPMS juga merayu kerajaan menyediakan peruntukan khas di bawah TEKUN untuk membantu ahli-ahli yang terjejas untuk mendapatkan pinjaman untuk modal pusingan tanpa faedah atau faedah rendah.
“Perkara ini penting untuk memastikan semua peniaga mempunyai tunai apabila berdepan dengan situasi seperti hari ini.
“Bayangkan perniagaan yang ditutup apabila dibuka nanti, pastinya perlu membayar kos kos tertentu seperti sewa, bil utiliti, gaji dan bayaran lain sebagai kos operasi kepada perniagaan,” katanya.
Selain itu katanya, DPMS juga merayu kepada Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) memberikan diskaun 50 peratus kepada cukai pintu atau tanah setiap premis kedai dan rumah.
Premis perniagaan juga merayu kepada PBT agar memberikan potongan diskaun bayaran kepada lesen pengiklanan atau bayaran singboard premis perniagaan dan bayaran ruang yang disewa daripada PBT untuk meletakkan meja dan kerusi, tambahnya.
“Kerajaan perlu membantu untuk menyelamatkan para peniaga kerana ianya membawa kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Banyak rakyat akan kehilangan pekerjaan dan ramai peniaga terpaksa menutup perniagaan dan menjadi penghutang tegar.
“Moratorium secara menyeluruh bukan sahaja akan menyelamatkan para peniaga dan rakyat dalam situasi yang ada hari ini, tetapi lebihan duit ditangan rakyat boleh digunakan untuk mengembalikan kitaran wang dalam pasaran perniagaan dan seterusnya menjana semula ekonomi negara,” katanya lagi.