Fary
LABUAN: Sejumlah RM140,000.00 sumbangan tujuh syarikat korporat di sini disalurkan kepada Perbadanan Labuan (PL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan kepada warga Labuan yang terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman berkata pihaknya akan menyelaras pengagihan sumbangan berupa bakul makanan asas keperluan harian itu.
“Separuh daripada jumlah tersebut iaitu RM70,000 akan diserahkan kepada Hospital Labuan,” katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan Lembaga Pengarah gabungan tujuh syarikat tersebut, Chai Tze Moh di Stor Sepusat PL.
Gabungan tujuh syarikat itu terdiri daripada Lazenda Hotel, Tiara Labuan Hotel, Palm Beach Resort & Spa, Lazenda Development Sdn. Bhd, Chee Sing Sdn. Bhd, Fung Hing Sdn. Bhd. dan ITMC Fiduciary Limited.
Fary seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan bantuan bakul makanan di samping bantuan yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan.
Jelas Fary, sebanyak 5,000 lagi bakul makanan tambahan diterima menerusi dua penerbangan dari Subang.
Di bawah Operasi Wilayah Prihatin Labuan (OWPL), bakul makanan tersebut akan terus diagihkan kepada penduduk.
Kerja-kerja pengagihan dijangka akan berlarutan sampai waktu malam yang melibatkan petugas PL, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), JKM dan semua jabatan serta agensi kerajaan di Labuan.
Sebanyak 8,000 bakul diagihkan selama dua hari operasi bantuan dimulakan di mana fasa kedua dijangka tiba di Labuan minggu ini.
Fary meminta penduduk yang diarahkan berkuarantin supaya tidak keluar rumah dan jika sekiranya memerlukan bantuan bakul makanan, penduduk boleh menghubungi ketua kampung masing-masing.
Fary juga mengingatkan penduduk Labuan untuk terus mematuhi arahan PKPD dan SOP dengan harapan dapat memutuskan penularan virus dan mengembalikan Labuan menjadi zon hijau.