KUALA LUMPUR: Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah dikenakanPerintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai lusa sehingga 4 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi kes COVID-19 di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah dan mengesahkan ada peningkatan ketara kes di lokaliti ini.
“Sebanyak 19 kes positif direkodkan hasil daripada 29 orang yang disaring dengan kadar positiviti 65.51 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain.