Ir. Abdul Aziz Julkarnain.
KOTA KINABALU: Ada pihak-pihak berkepentingan yang mahukan agar UMNO berpecah belah untuk menghalang UMNO dariapda terus bersuarakan ‘suara rakyat’, kata Ketua Pemuda Umno Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain.
“Saya yakin bahawa pihak-pihak berkepentingan itu mahukan agar UMNO berpecah belah untuk menghalang UMNO daripada terus bersuarakan ‘suara rakyat’.
“Anda boleh cuba pecahkan UMNO dari dalam tetapi ianya akan sia-sia kerana UMNO wujud atas asas perjuangan rakyat. Sejarah sudah melakarnya dan pelakarannya masih bersambung!,” tegasnya.
Beliau merujuk kepada Utusan Malaysia dalam siarannya pada hari ini yang telah melaporkan risalah 14 muka surat ‘Kronologi komplot Anwar Ibrahim-Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan’ yang sedang diedar kepada ahli-ahli UMNO melalui pos.
“Tentunya risalah tersebut dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengekalkan kepentingan-kepentingan mereka. Siapakah pihak-pihak yang berkepentingan ini?
“Pastinya bukan daripada pihak UMNO kerana UMNO telah jelas dalam pendiriannya, sepertimana dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) awal tahun ini berkenaan tiga perkara, iaitu No PPBM, No PKR dan No DAP.
“Keputusan itu adalah muktamad dan harus diletakkan noktah. Ketetapan ini bukan hanya dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi.
“UMNO akan terus konsisten dalam hal ini dan pada masa sama menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Pemerintah untuk mengadakan sidang parlimen secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Pemerintah senada dengan kemahuan rakyat akan perlunya ada semak dan imbang untuk menilai kembali tentang tata kelola terhadap wabak Covid-19 ini dan pengurusan ekonomi yang semakin membungkam dan merisaukan rakyat.
Katanya, tujuh mesej utama perlu perjumpaan khas Raja-Raja Melayu iaitu;
- Parlimen mesti segera bersidang tidak perlu tunggu bulan Oktober sebagaimana perutusan PM semalam.
- Parlimen harus bahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan yang dibentangkan PM semalam.
- Parlimen kena bahaskan peruntukan perbelanjaan Kerajaan UNTUK BANTU RAKYAT yang dalam kesempitan.
- Penting wujudkan Kerajaan yang stabil, dapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat.
- Program vaksinasi dipertingkatkan dan dikurangkan karenah birokrasi.
- Program tangani Covid-19 kena dapat sokongan rakyat dan tiada muslihat politik, dan
- Darurat hendaklah ditamatkan selepas 1 Ogos 2021.