YB Dr Ronald melawat PPV di Dewan Serbaguna Pekan Beluran.
BELURAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, hari ini telah melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedang beroperasi di Dewan Serbaguna Pekan Beluran bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin kepada penduduk setempat.
Selain PPV di Dewan Serbaguna Pekan Beluran, terdapat juga PPV di Dewan Kampung Kobambangan Paitan dan PPV di Dewan Institut Perhutanan Sabah, Telupid.
Setakat ini terdapat tiga PPV yang utama di Parlimen Beluran.
Seramai 7,944 individu telah diberikan vaksin Covid-19 di ketiga-tiga PPV ini dibawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.
PICK telah pun melepasi 100 hari pelaksanaannya sejak fasa pertama bermula pada 24 Februari 2021 dan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.
Dr. Ronald menggesa orang ramai untuk terus mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 disebabkan pengambilan vaksin ini penting sebagai langkah melindungi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
Tambah beliau, sokongan serta kerjasama penuh rakyat terhadap PICK adalah amat penting dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan dapat kembali seperti sedia kala.
“Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk terus mempermudahkan orang ramai mendapatkan vaksinasi khususnya penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman yang menghadapi kesukaran untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin,” katanya.
Menurut Dr. Ronald, kerajaan akan terus komited dan berusaha bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif utama sasaran iaitu imuniti kelompok yang penting bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumum oleh Perdana Menteri.
Peningkatan kadar vaksinasi adalah antara indikator penting dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara sekaligus akan membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.
“Ini akan membantu kita beralih keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 kepada norma kehidupan pra pandemik.
“Dalam pada itu, usaha ini tidak dapat dijayakan tanpa pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat,” katanya.

YB Dr Ronald menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kassim Bin Muda.
Bagi menghargai usaha berterusan mereka, Dr. Ronald juga telah menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan daerah ini di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
Sumbangan keperluan makanan asas diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Beluran SUPT Kassim Bin Muda dan Penolong Pegawai Kesihatan Daerah Beluran Dr. Nursaini Binti Nion untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,080 bakul makanan (food basket).
Sumbangan MAFI Prihatin menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ini adalah sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara terhadap pengorbanan dan usaha berterusan mereka untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Pemberian sumbangan ini juga antara lain bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat khususnya dengan petugas barisan hadapan negara yang tidak pernah jemu menjalankan tugas demi memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terjaga sepanjang masa.

YB Dr Ronald menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada Penolong Pegawai Kesihatan Daerah Beluran Dr. Nursaini Binti Nion.
Keprihatinan Menteri MAFI bersama pihak LPP turun ke lapangan adalah sebagai tanda sokongan moral kepada para petugas barisan hadapan negara, sepanjang usaha mereka bertungkus-lumus memutuskan rantaian Covid-19 sejak pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas hingga sekarang.
Pada hari yang sama, Dr. Ronald sempat meninjau projek ternakan ikan dilaksanakan oleh PPK Beluran dan melepaskan benih ikan baulu sejumlah 8,000 ekor.
Pelaksanaan projek bernilai RM150,000 ini adalah antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi meringankan beban barisan hadapan sektor pertanian dan industri makanan khususnya petani, nelayan dan penternak yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk YB Samad Jambri, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Tuan Haji Abu Sujak Bin Sahuji, Timbalan Pengarah LPP Sabah Tuan Abd Razak Said dan Pengurus Besar PPK Beluran Tuan Sumarang Chunbung.