KOTA KINABALU: Satu kluster baru direkodkan hari ini melibatkan tempat kerja iaitu Kluster Pintas – Lingkudau – Keningau, Tambunan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini berkata, kluster itu melibatkan Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau dan Mukim Sunsuron di Daerah Tambunan.
“Kes indeks adalah pegawai eksekutif wanita, 34, di syarikat bekalan elektrik di Keningau yang disahkan positif ujian RTK-Ag melalui saringan bergejala di Poliklinik TMC, pada 15 Jun 2021.
“Susulan kes itu, saringan kontak yang dijalankan terhadap 82 individu berjaya mengesan dua kes positif RTK-Ag dalam kalangan kontak rapat di tempat kerja oleh Pusat Saringan PKS IPG Keningau pada 16 Jun 2021,” katanya.
Pada hari berikutnya, enam lagi kes positif dilaporkan merangkumi satu kes hasil saringan kontak rapat di Poliklinik TMC dan lima kes positif kontak rapat melalui aktiviti lapangan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau.
Masidi menjelaskan, turut dikesan, satu kes positif RTK-Ag yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Tambunan pada hari yang sama, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 10 kes.
“Berdasarkan maklumat, ruang tempat kerja yang sempit dipercayai menjadi punca penularan jangkitan.
“Aktiviti pengesanan dan saringan kontak rapat serta penyiasatan punca penularan masih giat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Sabah mencatatkan enam kematian disebabkan Covid-19 hari ini masing-masing dari daerah Sandakan, Kunak, Putatan, Papar, Lahad Datu dan Kota Belud.
Katanya lagi, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 49 kes iaitu daripada 248 kes semalam (17 Jun 2021) kepada 199 kes (18 Jun 2021).
“Daripada 199 kes jangkitan baharu hari ini, 91 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 61 kes adalah daripada saringan kluster, 27 kes adalah daripada saringan bergejala, lima kes daripada saringan bersasar dan 15 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Ringkasan data pada hari ini ialah 12 daerah mencatatkan penurunan, 10 daerah mencatatkan peningkatan, satu daerah mencatatkan pengekalan kes seperti semalam, 8 daerah mencatatkan sifar kes dan satu daerah kekal sebagai Zon Hijau hingga kini,” jelasnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu dan PPRT Kampung Pasir Putih, Putatan berkuat kuasa 20 Jun sehingga 03 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan