KENINGAU: Malaysia Communication and Multimedia Commission (MCMC) memaklumkan, pelbagai usaha giat diambil bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan Kampung Ranggom di sini ditangani dengan segera.
Ini susulan masalah capaian Internet lemah yang dihadapi oleh Atiqah Nurqistina Jamain, seorang pelajar Tingkatan Lima di kampung tersebut.
Dalam kenyataan media hari ini, MCMC memberitahu satu pertemuan antara pihaknya dan wakil penyedia perkhidmatan (terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan YTL) dengan pelajar berkenaan telah pun diadakan beberapa hari lalu bagi memahami masalah dan keperluan pelajar yang terkesan itu.
Semasa lawatan tersebut, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pengadu dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan.
Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi oleh Atiqah Nurqistina, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat iaitu di Kg. Labak Baru, Bingkor.
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Atiqah Nurqistina juga boleh mendaftar dan menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK).
Di masa PKP ini, Atiqah Nurqistina boleh mengguna pakai kemudahan Wifi yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa PKP dan boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
Untuk penyelesaian jangka panjang, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah pun dirancang. Sebuah menara akan dibina oleh pihak Celcom menerusi projek JENDELA di Kg. Sungai Apin-Apin yang terletak lebih kurang 0.77 kilometer dari Kg. Ranggom.
Pembinaan menara ini yang dijangka siap pada bulan April 2022 akan menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan para penduduk di sekitar Kg. Ranggom.