Khairul Firdaus Akbar Khan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan BERSATU Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan meminta Datuk Junz Wong jangan berpura-pura lupa dengan peruntukan RM100,000 yang diberikan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang beberapa bulan dahulu untuk mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Kerajaan Warisan, sewaktu menerajui Kerajaan Sabah tidak pernah memberikan sebarang peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang ketika itu untuk disalurkan ke kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Junz yang merupakan ADUN Tanjung Aru pada 16 Jun 2021 di Facebook beliau berkenaan kononnya peruntukan ADUN-ADUN pembangkang telah ditarik balik dan diberikan kepada Ketua-Ketua Bahagian Bersatu
Khairul berkata kenyataan Junz tersebut adalah satu kenyataan yang berniat jahat dan cuba mewujudkan keadaan yang negatif di dalam pentadbiran negeri Sabah.
“Sebagai seorang wakil rakyat, Junz harus matang dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Setiap ayat yang dilontarkan itu boleh mencerminkan jenis kepimpinan pemimpin itu sendiri.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) cukup memahami dan mendalami masalah-masalah rakyat Sabah ketika dalam mengharungi pandemik Covid-19 ini. Ini terbukti dengan pelbagai bantuan yang telah disalurkan dan yang akan disalurkan tidak lama lagi.
“Junz jangan pura-pura lupa dengan peruntukan RM100,000 kepada setiap ADUN pembangkang beberapa bulan dahulu untuk mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Kerajaan WARISAN sewaktu menerajui Kerajaan Sabah tidak pernah memberikan sebarang peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang untuk disalurkan ke kawasan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang wakil rakyat yang mencintai negeri Sabah seharusnya Junz bersama-sama membantu untuk membangunkan masyarakat dan negeri Sabah yang tercinta ini, bukannya menjadi tukang cerita yang membawa cerita karut dan tidak berfaedah.