Fairuz melawat PPV Rafflesia Medical Centre
KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan berkata usaha bagi mencapai perlindungan imuniti kelompok dengan pengambilan vaksin Covid-19 khasnya bagi negeri ini mampu dicapai dengan adanya peningkatan dalam kemampuan urus tadbir Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berusaha keras untuk meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin setiap hari serta jumlah PPV termasuk di kawasan pedalaman.
“Setakat 13 Jun lalu, seramai 249,945 daripada 2,932,700 penduduk Sabah telah menerima dos pertama vaksin.
“Dan kini, terdapat 72 fasiliti kesihatan serta 23 PPV awam yang beroperasi untuk membantu program imunisasi yang kini sedang rancak dijalankan kepada seluruh penduduk Sabah berusia 18 tahun ke atas, seperti mana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri kita baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri setiap hari berusaha mencari penyelesaian untuk menambahkan PPV serta jumlah vaksin.
“PPV akan dibuka lebih banyak dan begitu juga dengan pendaftaran jangkau luar komuniti.
“Selain itu, penghantaran bekalan vaksin ke Sabah juga konsisten dan vaksin-vaksin yang kita terima adalah Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca,” tambah Fairuz lagi.
Fairuz turut menyeru semua pihak untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan demi untuk memastikan kejayaan dalam melawan Covid-19.
“Kita memerlukan kerjasama dan usaha bersama dari semua pihak, dari kerajaan dan rakyat, kerana kita semua adalah satu komuniti yang saling bergantung antara satu sama lain dan kita perlu bertahan, terus patuh SOP dan kita akan berjaya melawan Covid-19 kelak,” katanya lagi.