Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Empat kematian disebabkan Covid-19 direkodkan hari ini iaitu dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di Kunak dan Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes baru hari ini adalah 248 kes sekaligus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak
66,978 kes.
“Daripada 248 kes jangkitan baharu hari ini, 85 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 108 kes adalah daripada saringan kluster, 32 kes adalah daripada saringan bergejala, 10 kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.
“10 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Papar 49 kes (+42), Kota Belud 20 kes (+16), Kudat 15 kes (+13), Lahad Datu 16 kes (+11) dan Sandakan 17 kes (+10). Dua daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kota Kinabalu (60 kes) dan Keningau dua kes kekal sebagaimana jumlah kes semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, catatan kes yang agak tinggi di Kota Kinabalu dipengaruhi oleh jumlah Saringan Kluster dari lima kluster iaitu sebanyak 27 kes baharu yang didominasi oleh Kluster Coral sebanyak 17 kes.
Manakala jelasnya, peningkatan yang dicatatkan oleh Papar pula disumbangkan oleh oleh Kluster Kg Gusi yang mencatatkan 44 kes baharu.
Walau bagaimanapun, Masidi menjelaskan tujuh daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Lima daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala dua daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kunak (-15) dan Tawau (-13).
“Hari ini juga Sabah tidak merekodkan sebarang kluster baru,” tambahnya lagi.