Yakub Khan (tengah) menunjukkan isyarat tanda bagus dalam lawatannya ke HUMS, UMS.
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan meminta mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 supaya tidak berasa ragu-ragu untuk berbuat demikian untuk kebaikan diri sendiri dan demi membantu usaha untuk mencapai imuniti kelompok di Sabah.
“Kepada orang ramai di luar sana yang belum mendaftar dan divaksin dan masih merasa ragu-ragu dan bimbang, saya minta janganlah berfikiran sedemikian rupa.
“Vaksin ini adalah sangat baik untuk diri sendiri. Selain itu dengan tervaksinnya segenap lapisan masyarakat insyaallah kita akan dapat mengamalkan kehidupan seharian seperti sediakala,” kata Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Karambunai kepada pemberita semasa lawatannya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, semalam.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Naib Canselor UMS Prof. Datuk ChM. Ts. Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Hospital UMS (HUMS) Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang serta pegawai-pegawai kanan UMS.
Yakub telah dibawa ke beberapa kaunter pemeriksaan bagi proses pemberian vaksin serta diberikan penerangan carta proses yang perlu dilakukan oleh setiap penerima vaksin.
Beliau juga sempat menyantuni beberapa orang yang akan dan telah menerima vaksin. Beliau berpuashati dengan sambutan yang diterima oleh PPV UMS.

Yakub Khan (kiri) menyantuni penerima vaksin di HUMS, UMS.