KOTA KINABALU: Sabah pada Selasa mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini bagi mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 Jun.
Menurut Harian Ekspres, antara SOP itu ialah majikan dalam sektor ini perlu menyediakan protokol di tempat kerja meliputi pemantauan penyakit dan pencegahan penularan jangkitan mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Semua majikan di bawah sektor ini tertakluk kepada saringan kesihatan sebelum memasuki kawasan operasi menggunakan pengimbas suhu tanpa sentuh dan pemeriksaan bagi gejala-gejala Covid-19.
Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar), dalam kenyataan di sini, Selasa, berkata sektor-sektor itu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam dengan kapasiti 60 peratus tenaga kerja.
Selain itu, semua majikan di bawah sektor-sektor ini tertakluk kepada saringan perubatan sebelum memasuki kawasan operasi menggunakan pengimbas tanpa sentuh dan saringan untuk gejala-gejala Covid-19.
Maklumat mengenai status kesihatan pekerja harus direkodkan dan disimpan di ladang pemilik/pekebun kecil.
Semua pekerja mesti sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dari rakan sekerja.
Pekerja dan pelanggan diperlukan memakai pelitup muka.
Pengangkutan pekerja di bawah sektor ini ke tempat operasi dalam kumpulan yang ramai tidak dibenarkan.
Pemilik ladang/pekebun kecil diminta meminimakan bilangan pekerja yang diperlukan untuk melaksanakan operasi bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja. Pemilik ladang/pekebun kecil diperlukan menjalankan proses disinfeksi di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pekerja.
Pelawat dan pembekal yang memasuki kawasan operasi harus dikawal dan hanya dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk tujuan perlu sahaja.
Kesihatan semua pelawat dan pembekal harus diperiksa menggunakan pengimbas suhu tanpa sentuh dan diperiksa untuk gejala-gejala Covid-19.
Mana-mana pelawat dan pembekal yang dikenal pasti menunjukkan gejala Covid-19 tidak dibenarkan memasuki kawasan operasi.
SOP serupa terpakai bagi mereka yang mengendalikan ternakan.
Nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah di Kawasan Esszone dibenarkan, tertakluk kepada permit yang dikeluarkan ketua polis daerah, sementara tempoh operasi adalah dari 6 pagi hingga 2 petang.
Bagi Kompleks Safma di Kota Kinabalu, tempoh operasi yang dibenarkan ialah dari jam 12.01 tengah malam hingga 7 malam sementara tempoh operasi bagi nelayan pantai, laut dalam dan akuakultur kecuali mereka yang berada di Esszone adalah 24 jam.
Sementara itu, Sabah pada Isnin merekodkan 230 kes baharu dan tiga kematian, masing-masing satu di Tawau, Papar dan Semporna.
Masidi berkata saringan bersasar di Kudat menemui lebih banyak kes baharu dengan 43, sementara kluster Ocean Blue di Kota Kinabalu menyaksikan pertambahan 24 lagi kes positif.
Kluster lain mendaftarkan 49 kes di Kota Kinabalu, 27 di Tawau, 19 di Beaufort, 17 di Kota Belud, 12 di Kalabakan dan 10 di Penampang.