Faez (kanan) dan Anthony dengan kenderaan pacuan empat roda persatuan yang terlibat dalam misi KKM.
KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi vaksin Covid-19 kepada penduduk yang tinggal di kawasan jauh terpencil dan sukar dihubungi di negeri ini menerima sokongan bantuan daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Sabah.
Setakat semalam (15 June) persatuan tersebut telah menyertai misi KKM membawa doctor dan jururawat serta vaksin dan peralatan ke empat buah kampung, iaitu Kg Penontomon, Kg Nangkawangan, Kg Layon dan Kg Katalirus di Nabawan.
Selepas dua minggu, mereka akan kembali semula ke kampung-kampung tersebut untuk pemberian suntikan kedua vaksin.
Misi tersebut melibatkan sembilan ahli persatuan, yang diketuai oleh Anthony Wong, dan lima kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan ke kampung-kampung tersebut mengambil masa tiga jam melalui jalan yang sukar untuk dilalui oleh kenderaan biasa.
Ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Wanita semasa lawatan Ketua Menteri ke sana semalam, Presiden persatuan Faez Nordin berkata persatuan akan mempergiatkan pergerakkan semua ahli-ahlinya yang berada di seluruh daerah di negeri ini.
“Ahli-ahli kami sentiasa bersiapsiaga menunggu arahan daripada KKM sekiranya mereka memerlukan bantuan untuk pergi ke tempat-tempat yang terpencil dan tiada jalan perhubungan yang baik,” katanya.
Katanya, penglibatan mereka dalam misi KKM merupakan salah satu daripada tanggungjawab korporat social (CSR) mereka.

Faez (kiri) dan Anthony menunjukkan tempat penyimpan vaksin di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam misi KKM tersebut.
Persatuan juga sentiasa menghulurkan bantuan bila diperlukan terutamanya ketika bencana melanda seperti banjir dan sebagainya kerana mereka mempunyai kenderaan khas yang boleh digunakan dalam keadaan yang mencabar seperti itu, katanya.
Ditanya tentang pengalaman semasa menyertai misi KKM ke Nabawan, Faez berkata semasa misi di Nabawan tersebut, ada sesetengah penduduk kampung yang tidak setuju untuk menerima vaksinasi namun setelah menerima nasihat dan penerangan akhirnya baharulah mereka bersetuju.
“Difahamkan seramai 190 orang penduduk di kampung-kampung tersebut telah menerima suntikan dos pertama vaksin,” katanya.