Amirul Hadi Idham
LABUAN: Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Labuan mengehadkan pembelian barang kawalan di setiap premis di sini merupakan langkah sementara untuk memastikan bekalan mencukupi.
Pengarah KPDNHEP WP Labuan Amirul Hadi Idham berkata, tindakan drastik itu juga bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengguna dapat membeli barangan keperluan.
“Kawalan pembelian dilakukan kerana kedudukan Labuan yang memerlukan pengangkutan laut bagi penghantaran bekalan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Justeru, Amirul memohon kerjasama kalangan masyarakat pengguna di sini supaya menerima, menyokong dan mematuhi langkah sementara ini.
Amirul menegaskan, isu pengangkutan sebelum ini telah diselesaikan dan penjadualan semula telah dilaksanakan di mana bekalan keperluan asas dijangka pulih secara berperingkat.
Jelas Amirul, beberapa premis peruncit dan pemborong yang sebelum ini diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri WP Labuan telah kembali beroperasi, manakala bekalan keperluan dijangka tiba dalam masa terdekat.
Amirul berkata, keadaan masih terkawal dan oleh itu orang ramai diminta agar tidak panik dan berbelanja seperti biasa mengikut keperluan untuk mengelak bekalan terjejas perlakuan pengguna membeli melebihi keperluan.
“Penduduk Labuan juga diminta untuk membuat perancangan dan mematuhi arahan dari segi pembelian dan pergerakan agar penularan Covid-19 di Labuan dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Menurut Amirul, Kerajaan memberi jaminan perkhidmatan dan keperluan asas penduduk akan terus beroperasi sepanjang tempoh PKPD ini.
Sebarang kemusykilan boleh menghubungi portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800886800, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU atau Enforcement Command Centre(ECC)03-88826245.