Masiung Banah
TONGOD: Langkah Kerajaan Negeri Sabah memperhebatkan gerakan pemberian suntikan vaksin Covid-19 diyakini mampu mempercepatkan program imunisasi di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata ini kerana pendaftaran dalam talian menerusi MySejathara yang sebelum ini diperkenalkan Kerajaan Persekutuan ternyata amat perlahan.
” Ini kerana ada di antara individu yang telah mendaftar MySejathera sejak lima bulan lalu masih belum mendapat panggilan untuk divaksinasi, ” katanya semasa Program Outreach Vaksanasi Daerah Tongod di Dewan Masyarakat Keramuak, kelmarin.
Katanya, di ulu pedalaman khususnya penduduk kawasan perkampungan di daerah Tongod yang tidak mempunyai liputan internet, jauh sekali memiliki telefon pintar, sudah pasti mereka tidak dapat mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejathera.
Pendekatan Kerajaan Negeri membekalkan vaksin dengan menjelajah ke seluruh kawasan perkampungan secara bersasar mampu mempercepatkan kempen vaksinasi dengan lebih pantas, jelasnya.
Pemimpin masyarakat yang ditugaskan di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Ketua-ketua Adat, Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Kominiti Kampung (MPKK) hendaklah menjadi duta kecil kepada Kerajaan untuk menjalankan kempen bersapadu imunasasi kepada penduduk luar bandar yang terkesan dengan Covid-19.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), mengingatkan penduduk agar tidak terpengaruh dengan pelbagai provakasi media sosial yang cuba menggagalkan usaha murni Kerajaan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga kini sedang membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri sebagai usaha drastik mengekang penularan Covid-19.
Masiung berharap, inisiatif Kerajaan Negeri akan mencapai sasaran imuniti berkelompok seperti yang diharapkan pada penghujung tahun ini.
Program Outreach Vaksanasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Tongod melibatkan pelbagai jabatan kerajaan yang diketuai Pegawai Daerah Pejabat Daerah Tongod, UPPM, Klinik Kesihatan, Jabatan Penerangan, Polis, Rela dan Anggota Pertahanan Awam.