KOTA KINABALU: Skuad Harimau Malaya akhir memberikan khabar gembira buat peminat hasil kemenangan selepas menundukkan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, sebentar tadi.
Keputusan itu membantu skuad kebangsaan mengakhiri kempen kelayakan di kedudukan ketiga kumpulan dan pulang ke tanah air sekurang-kurang membawa pulang satu keputusan positif.
Anak buah Tan Cheng Hoe bermula garang sebaik wisel perlawanan ditiup dan hampir didepan pada minit kesembilan.
Namun peluang itu gagal disudahkan pemain sayap negara, Akhyar Rashid biarpun berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.
Skuad Harimau Malaya sekali lagi menguji Chatchai dan kali ini menerusi tandukan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula namun bola tepat ke dakapan penjaga gol berusia 34 tahun itu pada minit ke-21.
Enam minit selepas itu, Aidil Zafuan Abd Radzak pula mempunyai peluang namun sekali lagi tandukannya tepat menuju ke dakapan Chatchai.
Pemain tengah negara, Nor Azam Azih turut membuat Chatchai cemas menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-41 namun percubaan itu masih gagal menggegar jaring lawan.
Skuad Gajah Perang juga berjaya mencipta beberapa peluang namun buntu untuk menembusi gawang gol negara yang dikawal Khairulazhan Khalid menyaksikan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohammed Khled selepas pertahanan Thailand menjatuhkan Safawi Rasid.
Peluang keemasan itu dimanfaatkan oleh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk membuka tirai jaringan buat skuad Harimau Malaya pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu, Thailand hampir menyamakan kedudukan namun tandukan penyerang, Suphanat Mueanta berjaya diselamatkan Khairulazhan pada minit ke-59.
De Paula turut berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-65 sedikit tersasar melepasi palang gol lawan.
Begitupun, 10 minit terakhir skuad negara seperti hilang rentak, selain beberapa pemain kelihatan keletihan apabila lebih banyak bertahan.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia menamatkan kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tangga ketiga dengan 12 mata dibelakang Vietnam di tangga kedua (17) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara kumpulan G (18).
UAE berjaya muncul juara selepas menewaskan Vietnam 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan pada waktu yang sama.