KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar Fasa Tiga Pelan Pemulihan Ekonomi negara iaitu bulan September atau Oktober.
Bagaimanapun kata ia akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.
“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19,” katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara hari ini.
Fasa Ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.
Negara hanya boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu:
● Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes;
● Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi.
● 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.
Semasa Fasa Ketiga ini:
● Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian;
● Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti Fasa Kedua; dan
● Aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.